Saturday 7 May 2016

Wang Surau Untuk Ceramah Agama Sahaja?



Baru-baru ini saya berbual-bual tentang kejiranan saya bersama beberapa orang penduduk. Dalam rancak berbual tiba-tiba ada yang bertanyakan tentang wang simpanan surau kami. Menurut rakan-rakan tersebut kewangan surau berjumlah puluhan ribu ringgit tetapi ianya tidak digunakan sebaik mungkin untuk tujuan kemajuan surau maupun ummah setempat.

Sebagai ahli jemaah biasa surau yang tidak memegang apa-apa jawatan, saya sempat bertanya apakah perancangan pihak surau pada tahun ini? Menurut penduduk yang menjadi AJK, aktiviti tahun ini adalah aktiviti klise seperti tahun-tahun yang lalu seperti ceramah agama setiap bulan, persediaan menyambut puasa, solat sunat tarawikh, Hari Raya Aidil Fitri, Raya Haji dan sebagainya.

Pihak AJK juga telah merancang untuk memberi wang saguhati kepada golongan ibu tunggal sebanyak RM80 seorang, peningkatan RM30 ringgit berbanding RM50 pada tahun-tahun sebelumnya.

Itu pun mendapat tentangan beberapa AJK yang merasakan jumlah yang dicadangkan terlalu besar. Kadang-kadang saya berasa hairan bin ajaib kerana apalah yang yang hendak dikisahkan seandainya pihak surau dapat mengumpul wang puluhan ribu ringgit.

Malahan RM100 juga adalah jumlah yang sangat kecil kerana saguhati itu hanya diberi setahun sekali sahaja. Apa sangatlah yang dapat dibeli dengan RM80 dengan keadaan ekonomi yang meruncing sekarang dan segala-galanya melambung tinggi.

Sebenarnya pihak surau haruslah berfikiran lebih kreatif dan innovatif di dalam membelanjakan wang surau pada hemat saya. Tiada gunanya wang puluhan ribu tersimpan di dalam akaun surau sekiranya ia tidak dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Antaranya, mengapa tidak diganti kipas yang telah uzur dengan pendingin hawa yang dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang hadir ke surau. Dengan jumlah simpanan yang besar itu sudah pasti ia tidak menjejaskan kewangan surau.

Pihak surau juga boleh menggunakan wang simpanan tersebut untuk membantu jemaah yang terlantar di hospital yang kehilangan mata pencarian dengan memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka sementara dapat bekerja semula.

Malah pihak surau boleh sahaja menggunakan wang simpanan yang ada untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan dan membantu mereka yang akan memasuki universiti dan sebagainya.

Pemikiran yang klise dan jumut tentang penggunaan wang surau haruslah diubah. Pihak surau harus lebih terbuka dan berusaha dengan cara yang berkarisma untuk mempelbagaikan aktiviti dan membelanjakan wang kepunyaan surau.

Mengikut pengalaman saya semasa di luar negara, pihak gereja menjalankan pelbagai aktiviti di dalam menarik minat pelbagai golongan serta pelbagai usia untuk hadir ke gereja. Malah aktiviti sukarela menjadi tempat golongan muda untuk mengasah bakat sebagai pemimpin.

Sebagai contoh mereka menjalankan aktiviti 'meal on wheels' bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan ataupun orang-orang tua yang terlantar dengan menyediakan maknana secara percuma dan setiap ahli gereja silih berganti mengambil bahagian menyedia dan menghantar makanan kepada golongan ini.

Rasanya perkara yang sama boleh dipraktikkan di surau-surau dan masjid-masjid di negara kita. Malah pelbagai aktiviti yang lebih santai dan 'educational' harus dijalankan dan bukan yang bercorak keagamaan semata-mata.

Aktiviti-aktivit untuk kanak-kanak seperti belajar membaca, berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, melukis dan bercerita boleh dijalankan. Malah aktiviti-aktiviti sukan seperti badminton, takraw,bola tampar boleh juga di cadangkan.

Dari pemerhatian saya, pihak surau terlalu taksub di dalam aktiviti-aktiviti yang membabitkan 'makan-makan'. Mesyuarat agung surau contohnya pihak surau tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang yang banyak dengan makanan yang agak mewah dan adakalanya menyebabkan pembaziran.

Sudah tiba masanya pihak surau melalui AJKnya menjadi contoh yang terbaik kepada masyarakat setempat dan berperanan lebih empati dan simpati kepada ahli-ahlinya. Bukankan sifat pemurah dan dan dermawan itu sifat yang dituntut oleh Islam dan membelanjakan wang milik masyarakat setempat dengan bijak sudah pasti mendapat balasan setimpal dari Allah.