Saturday 26 March 2016

Adab BerwhatsApp


Kebanyakan pengguna telefon pintar atau smart phone pasti pernah menggunakan perkhidmatan ruang sembang sosial seperti Wechat, Line, Telegram, WhatApps dan sebagainya. Penggunaan mesej sosial ini sangat praktikal dan murah berbanding menghantar mesej atau bercakap di telefon.

Penyedia perkhidmatan ruang sembang sosial ini juga menyediakan platform di mana pengguna boleh berinteraksi secara berpasangan maupun secara berkumpulan. Ini merupakan perkhidmatan yang sangat praktikal dan memudahkan sekiranya sesuatu kumpulan seperti keluarga, rakan sepejabat, organisasi dan sebagainya ingin menyampaikan pesanan atau informasi yang penting dengan pantas secara pukal.

Sungguhpun begitu, ada masanya perlakuan sesetengah orang di dalam sesuatu group atau kumpulan sembang tersebut boleh mendatangkan rasa tidak senang ahli-ahli kumpulan yang lain. Apa tidaknya kerana terdapat sesetengah ahli yang tidak memikirkan sensitiviti dan perasaan ahli-ahli yang lain ketika bersembang. Ada juga jenis yang suka memonopoli perbincangan dan tidak kurang juga yang berlagak sebagai polis yang sering mengarah itu dan ini kepada ahli-ahli yang lain.

Oleh yang demikian sebelum kita berinteraksi dan berkomunikasi di dalam sesuatu kumpulan ruang sembang perkara-perkara berikut haruslah diambil kira.
  1.  Kenal pasti ahli-ahli di dalam kumpulan sembang tersebut - adakalanya terdapat pelbagai kaum, fahaman dan kepercayaan di dalam sesuatu kumpulang sembang dan pastinya anda tidak mahu terlajak kata semasa bersembang
  2. Elakkan bercerita kecenderungan politik serta fahaman masing-masing - tidak semua orang berkongsi fahaman politi yang sama dengan anda
  3. Elak memonopoli sesuatu tajuk perbincang - anda bukan lagi ketua kelas atau pengawas atau juga boss di tempat kerja bila bersembang di dalam chat group
  4.  Jangan berkongsi kisah peribadi di ruang sembang - sekiranya anda perlu bercerita masalah anda dengan sesorang pastikan anda menghubunginya secara peribadi
  5. Elakkan mengemaskini status dengan perkara-perkara yang boleh memberi tanggapan yang salah kepada ahli kumpulan yang lain - perkara-perkara yang samar boleh menimbulkan fitnah yang boleh memudaratkan pastikan apa yang anda ingin nyatakan terang dan jelas
  6. Jangan berlebih-lebihan di dalam berkongsi saat gembira dan kemewahan - ketahuilah ada juga orang yang tidak senang duduk sekiranya anda terlalu berlebih-lebihan dan mungkin ramai yang akan meluat
  7. Kenal pasti tujuan sebenar sesuatu kumpulan sembang itu diwujudkan - ruang sembang keluarga mungkin sesuai untuk bertanya khabar dan mengumumkan sesuati majlis
  8. Jangan berkongsi sesuatu berita yang tidak sahih kebenarnya
  9. Kongsi gambar-gambar berkumpulan setelah mendapat persetujuan semua yang di dalam gambar tersebut - mungking anda kelihat anggun di dalam gambar tersebut dan ahli yang lain tidak
  10. Jangan menyalahguna ruang sembang untuk tujuan peribadi kecuali setelah mendapat kebenaran admin

Sebagai contoh ruang sembang masjid ataupun surau bertujuan untuk memaklumkan informasi terkini tentang aktiviti-aktiviti masjid atau surau dan tidak bijak sekiranya digunakan untuk bersembang tentang politik ataupun tempat membuat promosi perniagaan.


Oleh yang demikian dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga seperti yang dicadangkan di atas diharap, ruang sembang sosial dapat digunakan untuk tujuan positif dan merapatkan ukhwah antara satu sama lain.

Friday 18 March 2016

Medan Selera Ampangan – Design Malfunction?



Medan Selera di Ampangan telah beroperasi semula setelah sekian lama memberi laluan kepada pembinaan semula bazaar tersebut. Dan reka bentuknya kelihatan sangat menarik dan mengekalkan cirri-ciri rekabentuk tradisional Negeri Sembilan terutama reka bentuk bumbungnya yang berkonsepkan Minang.

Pertama kali melihat medan selera ini sudah pasti anda akan terkesima akan betapa gah sizenya. Sudah pasti juga lebih ramai peniaga dan tempat duduk disediakan untuk kemudahan peniaga dan pengunjung untuk menjamu selera di sini.


Malangnya selepas meninjau ke dalam medan selera  tersebut harapan dan jangkaan ternyata meleset. Antara sebabnya saya senaraikan di bawah:

  1. Bangunan yang besar tetapi menyediakan ruang niaga yang terlalu sempit untuk operator menjalankan perniagaan.
  2. Bangunan yang tinggi tetapi hanya menyediakan ruang niaga di bahagian ground floor sahaja. Sepatutnya pihak yang terlibat harus menggunakan ruang yang ada dengan menjadikannya 2 tingkat.
  3. Design yang tidak praktikal kerana tidak mengambil kira pembaziran akibat penggunaan ruang yang tidak menyeluruh.
  4. Ruang niaga boleh dibesarkan lagi bagi kemudahan penyediaan makanan dengan selesa.
  5. Ruang tambahan boleh dibina di tingkat satu untuk peniaga yang tidak berasaskan makanan seperti kain baju, cenderahati, buku, computer, telefon bimbit dan sebaginya.
  6. Hiasan dalaman yang sangat membosankan dan tidak family friendly. Dalam dunia Internet sekarang sepatutnya pihak yang mereka konsep medan selera ini membuat sedikit penyelidikan agar ianya menjadi lebih ceria dan moden. Reka bentuk dalaman terlalu klise , konservatif dan terlalu membosankan.
  7. Pilihan warna yang muram.
  8. Penyediaan kaunter servis yang seragam untuk semua lot perniagaan.
  9. Ruang tempat duduk yang tidak pelbagai kerana kebanyakannya menyediakan meja untuk 4-6 orang semeja. Patut fikirkan ruang untuk pelanggan yang datang bersendirian dan berpasangan kerana ia akan menjimatkan pembazirkan tempat duduk.  
  10. Kipas angin dinding tidak dapat membantu penyejukan di dalam medan selera ini. Mungkin penggunaan kipas siling dan kipas berkabus lebih praktikal bagi memberi keselesaan pada pengunjung.
Ruang bumbung yang terlalu tinggi boleh menampung satu tingkat lagi.

Warna dan suasana yang muram.



Selain rekabentuk yang tidak praktikal dan hiasan dalaman yang suram tiada sebarang promosi dijalankan bagi mengwar-warkan pembukaannya. Lihat sahaja di dalam gambar yang disertakan hanya ada beberapa premis sahaja yang dibuka dan terlalu kurang pelanggan yang berkunjung.


Kafe di Khalifa University, Abu Dhabi - Selesa dan ceria.
Adalah bijak sekiranya  aktiviti-aktiviti promosi dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke medan selera ini. Dengan menyediakan pentas khas, program kemasyarakatan boleh diadakan di sini untuk manfaat masyarakat setempat.

Oleh yang demikian adalah bijak sekiranya sesuatu pembangunan itu dirancang dan dibuat kajian terperinci dengan mengambil kira sasaran audien dan praktikaliti penggunaannya utuk tempuh 10-20 tahun akan datang.

Wednesday 16 March 2016

Tips Memilih Hotel

Ramai  yang beranggapan menginap di hotel adalah perkara yang membazir. Ramai yang lebih gemar menumpang di rumah kawan atau saudara mara bila bercuti atau mempunyai urusan kerja di luar kawasan.

Mungkin ada kebenarannya tetapi menginap di hotel sebenarnya memberi lebih kebebasan dan ketenangan mental bergantung kepada pilihan hotel masing-masing.

Yang paling penting apabila membuat pemilihan hotel ialah kelas hotel itu sendiri. Hotel 1 bintang sudah pasti berbeza daripada hotel bertaraf 5 atau 6 bintang . Ini adalah kerana perkhidmatan dan layanannya adalah berbeza.

Apa yang anda perlukan akan menentukan harga untuk sesuatu hotel yang dipilih sebagai contoh perkhidmatan gym, kolam renang, business centre, restoran,spa dan sebagainya.

Kolam renang di Eco Tree Hotel, Melaka
Sungguh pun begitu, terdapat tips mudah yang boleh anda gunakan apabila membuat pemilihan hotel bagi memastikan setiap sen yang dikeluarkan itu berbaloi.

Bilik penginapan dan sarapan dari RM130 di Eco Tree Hotel, Melaka
  1. Pastikan perkhidmatan yang anda inginkan dengan membuat saringan apabila menggunakan enjin pencari hotel seperti Trivago, Hotel Combined, Agoda, Trip Advisor, Booking dan sebagainya.
  2. Bandingkan dengan sekurang-kurangnya 3 enjin pencari hotel kerana sungguh pun enjin pencari hotel seperti Trivago dikatakan membandingkan lebih daripada 200 laman sesawang hotel, adalah bijak melayari enjin pencari hotel yang lain ataupun laman sesawang hotel yang anda minati secara berasingan
  3. Pastikan harga telah termasuk cukai-cukai yang terbabit – (Agoda mobile apps memaparkan What You See, What You Get bagi hotel-hotel yang anda pilih. Bermaksud harga yang ditunjukan ,merupakan harga bersih atau nett price sesuatu bilik.)
  4. Cari hotel yang baru – kerana hotel yang baru lebih selesa dan pastinya layanan lebih bagus kerana mereka cuba menarik lebih ramai pelanggan ke hotel mereka.
  5. Soft Opening promotion – Hotel-hotel yang baru dibuka biasanya memberi potongan yang banyak sabagai daya penarik untuk pelanggan mencuba hotel mereka
  6. Sarapan pagi – pastikan harga bilik termasuk sarapan pagi kerana ia dapat memberi penjimatan dan keselesaan tanpa perlu tercari-cari tempat untuk minum pagi (kecuali anda bercadang untuk sarapan pagi di luar)
  7. Sekiranya mempunyai budget yang lebih di hotel 4-5 bintang pilihlah Club Room kerana ia menawarkan sarapan pagi dan juga pre dinner cocktail bagi sesetengah orang ia umpama makan malam selain free flow minuman ringan, jus serta minuman panas dari pagi ke malam.
  8. Jika membawa anak-anak di bawah umur cuba cari hotel yang menawarkan pekej kids eat FREE.  Kalau tidak silap Holiday Inn ada menawarkan pekej ini.
  9. Elak menginap pada hujung minggu kerana kebanyakan hotel mengenakan surcaj untuk penginapan pada hari Jumaat dan Sabtu, cuti umum dan cuti sekolah.
  10. Tempahlah bilik hotel anda seawal yang boleh kerana kebanyakan hotel memberi potongan yang besar kepada tempahan awal atau early bird.
  11. Menempah pekej kapalterbang beserta tempat penginapan juga memberi potong yang besar. Cuba layari Malindo Air Flight+Hotel package.
  12. Pilihlah family room sekira menginap bersama anak-anak kerana ianya lebih murah berbanding menempah 2 bilik berasingan.
Holiday Inn.... Kanak-kanak menginap dan makan percuma

Club lounge untuk Club Room Le Meridien KK
Ini merupakan sebahagian yang anda boleh lakukan sekiranya anda ingin menginap di hotel dan bagi memastikan setiap sen yang anda belanjakan memberi pulangan yang sebaiknya.

Sekiranya budget bukan halangan pasti sahaja anda boleh memilih mana-mana rangkaian hotel antarabangsa untuk penginapan anda di masa hadapan. Tetapi di dalam kegawatan ekonomi negara sekarang membuat pemilihan yang bijak pasti memberi penjimatan yang besar.

Pictures belong to respective sites.




Tuesday 15 March 2016

MAS Vs MAB


Urusan kerja ke Kuching baru-baru ini telah memberi kesempatan kepada saya untuk merasai pengalaman terbang bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) setelah agak lama tidak terbang selepas diterajui oleh CEO mat saleh.

Penerbangan pertama saya bersama Malaysia Airline System adalah kira-kira 31 tahun yang lalu tatkala saya baru berusia 17 tahun. Penerbangan ke Sydney, Australia bersama pesawat yang paling canggih pada masa itu Boeing 747 double deck. Sesungguhnya MAS merupakan penerbangan yang sangat mesra penumpang dan membuatkan saya seorang anak kampung yang pertama kali menaikinya merasa sangat selesa dan selamat.

Masih tergambar layanan mesra, makanan yang enak sungguhpun hanya berada di kelas ekonomi. Penerbangan pulang pula kira-kira setahun selepas itu dan MAS masih lagi memberi perkhidmatan yang tidak ada tolok bandingnya.

Masa beredar dan saya berkesempatan merasai pengalaman terbang dengan pelbagai syarikat penerbangan lain di dunia namun MAS tetap di hati sungguhpun dibelenggu dengan pelbagai masalah kewangan dan kejadian kehilangan dan ditembak jatuh.

Apa yang memusykilkan saya adalah kerugian yang dicatatkan tidak setimpal jika dilihat secara mata kasar akan sambutan orang ramai terhadap syarikat ini. Penerbangan dalam negeri biasanya penuh walaupun bersaing dengan syarikat tambang murah yang lain dan destinasi ke luar negara juga tidak kurang ramai penumpang. Mungkin ada faktor lain yang menyumbang kepada kerugian tersebut.

Pengalaman ke Kuching baru-baru ini telah membuka tanggapan baru saya terhadap MAS, opppps MAB - Malaysia Airlines Berhad. Sebagai sebuah syarikat penerbangan full service, makanan yang dihidangkan sangat-sangat menghampakan.

"Encik nak nasi goreng kambing atau mutabak?" soal pramugara.

Untuk penerbangan petang itu saya memilih nasi goreng kambing dan rakan sebelah saya memilih murtabak. Aduhhhh bila dibuka saja bekas nasi goreng itu jelas sekali ia nasi goreng biasa dangan hirisan (saya andaikan abuk daging) daging kambing yang sangat kecil dan mungkin memerlukan kanta untuk melihatnya.

Saya tidak menyalahkan pramugara tersebut kerana beliau hanya sekadar menghidangkan sahaja. Masalahnya sudah tentu dari syarikat sendiri dan juga syarikat pembekal makanan. Secara tidak langsung ia telah menjatuhkan imej syarikat penerbangan yang satu waktu dulu sangat teliti tentang makanan yang disajikan.

Nasi goreng itu datang bersama sebungkus kacang tanah goreng dan sekeping biskut. Begitu juga kepingan murtabak yang disajikan. Kalau dibanding dengan syarikat baru Rayani Air jelas Rayani mendahului di dalam kualiti makanan yang dihidangkan.

Begitu juga hidangan dari Kuching ke Kuala Lumpur; penerbangan lewat malam menghidangkan sandwich telor mayonise dan sandwich hirisan ayam, ia datang bersama sekeping kek span dan kacang tanah goreng.

Jelas sekali inilah yang telah dilakukan oleh MAB di bawah tangan orang asing.... Secara tak langsung ia boleh membuat penumpang setia penerbangan negara beralih ke penerbangan baru yang lebih berkualiti. Cara yang terbaik untuk menjimatkan kos mungkin dengan down grade tempat bermalam crew dari hotel 5 bintang ke 3 bintang atau pun dengan menyediakan satu jenis main menu yang berkualiti untuk penumpang bahi setiap set dan hapuskan hidangan sampingan seperti kek,biskut atau kacang goreng.

Majalah Going Places masih tersedia untuk penumpang - (menggantikan Wings of Gold suatu masa dulu)

Pengalaman terbaharu bersama MAB memang di luar jangkaan, mujur kekurangan itu dapat diseimbangkan dengan layanan mesra yang tetap tidak berubah dari pramugara dan pramugari MAS oppps MAB.

Kembalikan kegemilangan Malaysia Airlines.



Selamat Datang

Selamat Datang.

Telah agak lama saya tidak menulis di ruangan blog. Kira-kira lebih tiga tahun dan dalam tempuh vakum tersebut pelbagai perkara yang telah berlaku dan telah mewarnai tanggapan dan minda saya. Oleh yang demikian, kehadiran blog ini diharap dapat memberi sedikit sebanyak informasi untuk dikongsi bersama khalayak di alam maya.

Saya akan menulis apa saja yang terfikirkan dan yang mungkin dapat memberi sedikit manfaat kepada mereka yang membaca.

Sekali lagi selamat datang, semoga diterima oleh anda.


Zamri Pilus