Tuesday 19 July 2016

Mengawal ketagihan membeli belah di atas talian

Picture: http://www.retail-news.eu/online-shopping-less-popular-spain/


Mengawal ketagihan membeli belah di atas talian

Membeli-belah merupakan aktiviti yang digemari ramai tidak kira golongan lelaki mahupun wanita. Sungguhpun begitu ia bergantung kepada kemampuan dan kuasa membeli masing-masing. Ada yang menganggap membeli-belah ibarat terapi yang boleh memberi ketenangan diri. Adakalanya dengan hanya meluangkan masa melihat-lihat ataupun window shopping dapat memberi kepuasan kepada mereka.

Dengan kemajuan teknologi masa kini, membeli belah boleh dilakukan hanya di rumah dengan melayari Internet. Membeli-belah atas talian atau online shopping telah menjadi trend popular masa kini. Pembeli tidak perlu lagi keluar rumah atau bersiap-siap untuk menjalani aktiviti membeli belah. Cukup sekadar melayari peranti seperti smart phone, tablet dan komputer riba yang dilengkapi internet dan ianya sudah boleh dilakukan.

Ramai yang bersetuju, membeli belah di Internet lebih memudahkan dan menjimatkan. Anda tidak perlu lagi memandu keluar, mengharung kesesakan jalanraya, membayar wang petrol, caj parking dan sebagainya untuk membeli belah.

Apa yang perlu anda sediakan hanyalah kad debit atau kredit untuk urusan pembayaran. Dan anda hanya perlu menunggu barangan yang dipesan sampai di muka pintu rumah anda. Mudah bukan? Malah ada yang menyediakan perkhidmatan COD (cash on delivery) untuk barangan tertentu.

Melihat kepada betapa mudahnya membeli belah di Internet dan trendnya yang kian meningkat, kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pembelian yang tidak terkawal adalah besar. Kegiatan membeli belah secara tidak terkawal ini juga dikenali sebagai pembelian impulsif dan pembelian kompulsif.

Pembelian impulsif merujuk kepada aktiviti di mana seseorang itu membuat pembelian yang tidak dirancang. Dalam ertikata lain, pembeli membuat keputusan membeli pada saat akhir secara adhoc atau tiba-tiba akibat rangsangan seperti potongan harga dan tawaran hebat yang dilihat. Sebagai contoh anda mungkin akan membuat pembelian tiket kapalterbang gara-gara iklan jualan murahnya tanpa berfikir panjang kemungkinan tidak dapat menggunakannya di masa hadapan.

Mengikut kajian, emosi dan perasaan memainkan peranan yang besar di dalam membuat keputusan pembelian. Ini banyak dipengaruhi oleh iklan dan promosi yang menarik lagi bijak yang dapat menyentuh hati bakal pelanggan. Akibatnya sering kali pembeli membeli barangan yang mereka tidak perlukan.

Pembelian kompulsif pula adalah lebih dahsyat lagi. Ia akhirnya membabitkan ketagihan membeli belah di atas talian. Terdapat kes-kes di luar negara di mana pembeli menghabiskan kesemua wang simpanan mereka semata-mata untuk memenuhi ketagihan membeli-belah. Malah ada yang tidak sedar telah membelanjakan kesemua pendapatan mereka dan terkejut apabila tidak dapat mengeluarkan wang tunai untuk tujuan pembayaran bil dan sebagainya.

Mengikut statistik oleh gerbang pembayaran PayPal yang mengendalikan urusan pembayaran, pembelian secara atas talian telah meningkat 3 kali ganda dari tahun 2010 sehingga 2015. Jumlah jualan di Malaysia bernilai dari RM1.82billion melonjak kepada kepada RM5.76 billion. Oleh yang demikian jelas sekali urusan membeli belah atas talian merupakan alternatif yang disenangi oleh masyarakat dan secara tidak langsung membuka ruang berlakunya pembaziran.

Bagi membendung masalah ketagihan membeli-belah atas talian ini, masyarakat haruslah didedahkan kepada etika serta amalan baik penggunaan Internet. Ini dapat membantu pengguna memahami trend terkini urusan jualbeli di Internet dan bagaimana mengelakan diri dari terjebak kepada ketagihan membeli belah di atas talian.


Adakah anda pembeli kompulsif?

Pembeli kompulsif mengikut kajian sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita. Dan mereka membeli hanya untuk kepuasan diri dan bukan untuk keperluan. Ini mengakibatkan mereka membeli barangan yang mereka sebenarnya tidak perlukan. Kajian juga menunjukkan ramai yang menjadi pembeli kompulsif tergolong di kalangan orang-orang yang stress dan kesunyian. Membeli belah di atas talian memberi kepuasan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Adakalanya mereka tidak dapat mengingati apa yang telah mereka beli dan untuk tujuan apa.Memburukkan lagi keadaan akhirnya mereka terjebak di dalam hutang yang besar dan menghadapi masalah melunaskannya terutama apabila membeli menggunakan kad kredit.


Bagaimana mengawal diri daripada menjadi pembeli kompulsif dan impulsif?


  • membeli dengan tunai
    Jadikan amalan membeli secara tunai sebagai amalan tetap anda. Ini adalah kerana, dengan membayar secara tunai anda dapat melihat wang anda secara fizikal dibelanjakan. Kebiasaannya kita jarang menyimpan wang tunai yang banyak di tangan dan secara tidak langsung menghindar dari pembelian yang tidak diperlukan
  • sediakan senarai barang yang diperlukan
    Seperti juga membeli belah di gedung fizikal, anda harus menyediakan senarai barangan yang hendak dibeli secara atas talian. Berpegang teguh pada senarai anda, ia mampu mengelakan anda darpada membeli barangan yang tidak diperlukan.
  • guna hanya satu kad kredit
    Pastikan anda hanya mengekalkan satu kad kredit sahaja untuk tujuan pembelian atas talian. Ini sangat membantu anda daripada membuat berlebihan berbanding sekiranya anda memiliki kad kredit yang banyak.
  • Elak dari melayari laman sesawang dan rangkaian tv yang menawarkan promosi
    Laman sesawang dan rangkaian tv ini memang dicipta untuk memujuk penonton untuk membeli barangan yang diperkenalkan. Dengan tidak menontonnya anda secara automatik dapat menyisih daripada berkemungkinan untuk membuat belian
  • rekodkan perbelanjaan anda
    Dengan merekodkan setiap sen wang yang anda belanjakan akan memudahkan anda mengetahui ke mana wang anda belanjakan dan membantu anda untuk membuat perancangan pembelian di masa hadapan
  • tangguhkan pembelian
    Teknik ini dapat membantu anda mengurangkan nafsu membeli dan kemungkinan membuka minda sedar anda bahawa barangan itu tidak anda perlukan. Tiap kali anda melihat sesuatu barangan dan bercadang untuk membelinya, adalah bijak untuk beralih ke laman yang lain atau berhenti daripada melayari Internet. Biasanya selepas 20 minit niat anda untuk membeli akan berkurangan.
  • hadkan penggunaan Internet
    Pastikan anda menghadkan penggunaan internet bagi memastikan anda tidak ketagih melayarinya dan melakukan window shopping ke atas barang-barang yang tidak diperlukan.
  • Bersosial di alam nyata
    Adalah bijak untuk anda membanyakan aktiviti berinteraksi secara bersemuka dengan masyarakat sekeliling daripada melayari internet semata.


Sebagai kesimpulannya, pembelian secara atas talian sebenarnya memberi banyak kemudahan di dalam urusan kita sehari-hari. Ia buka sahaja dapat menjimatkan masa,tenaga dan wang malah memberi keselesaan membeli belah di dalam ruang tamu rumah anda sendiri. Sungguhpun begitu, pengguna haruslah bijak di dalam menentukan keperluan daripada kemahuan kerana dengan mengabaikan tatacara yang positif ia boleh membawa kepada kemusnahan yang besar dalam hidup anda.