![]() |
Picture: http://www.retail-news.eu/online-shopping-less-popular-spain/ |
Mengawal ketagihan membeli belah di
atas talian
Membeli-belah merupakan aktiviti yang
digemari ramai tidak kira golongan lelaki mahupun wanita. Sungguhpun
begitu ia bergantung kepada kemampuan dan kuasa membeli
masing-masing. Ada yang menganggap membeli-belah ibarat terapi yang
boleh memberi ketenangan diri. Adakalanya dengan hanya meluangkan
masa melihat-lihat ataupun window shopping dapat memberi
kepuasan kepada mereka.
Dengan kemajuan teknologi masa kini,
membeli belah boleh dilakukan hanya di rumah dengan melayari
Internet. Membeli-belah atas talian atau online shopping telah
menjadi trend popular masa kini. Pembeli tidak perlu lagi keluar
rumah atau bersiap-siap untuk menjalani aktiviti membeli belah. Cukup
sekadar melayari peranti seperti smart phone, tablet dan komputer
riba yang dilengkapi internet dan ianya sudah boleh dilakukan.
Ramai yang bersetuju, membeli belah di
Internet lebih memudahkan dan menjimatkan. Anda tidak perlu lagi
memandu keluar, mengharung kesesakan jalanraya, membayar wang petrol,
caj parking dan sebagainya untuk membeli belah.
Apa yang perlu anda sediakan hanyalah
kad debit atau kredit untuk urusan pembayaran. Dan anda hanya perlu
menunggu barangan yang dipesan sampai di muka pintu rumah anda. Mudah
bukan? Malah ada yang menyediakan perkhidmatan COD (cash on
delivery) untuk barangan tertentu.
Melihat kepada betapa mudahnya membeli
belah di Internet dan trendnya yang kian meningkat, kebimbangan
terhadap kemungkinan berlakunya pembelian yang tidak terkawal adalah
besar. Kegiatan membeli belah secara tidak terkawal ini juga dikenali
sebagai pembelian impulsif dan pembelian kompulsif.
Pembelian impulsif merujuk kepada
aktiviti di mana seseorang itu membuat pembelian yang tidak
dirancang. Dalam ertikata lain, pembeli membuat keputusan membeli
pada saat akhir secara adhoc atau tiba-tiba akibat rangsangan seperti
potongan harga dan tawaran hebat yang dilihat. Sebagai contoh anda
mungkin akan membuat pembelian tiket kapalterbang gara-gara iklan
jualan murahnya tanpa berfikir panjang kemungkinan tidak dapat
menggunakannya di masa hadapan.
Mengikut kajian, emosi dan perasaan
memainkan peranan yang besar di dalam membuat keputusan pembelian.
Ini banyak dipengaruhi oleh iklan dan promosi yang menarik lagi bijak
yang dapat menyentuh hati bakal pelanggan. Akibatnya sering kali
pembeli membeli barangan yang mereka tidak perlukan.
Pembelian kompulsif pula adalah lebih
dahsyat lagi. Ia akhirnya membabitkan ketagihan membeli belah
di atas talian. Terdapat kes-kes di luar negara di mana pembeli
menghabiskan kesemua wang simpanan mereka semata-mata untuk memenuhi
ketagihan membeli-belah. Malah ada yang tidak sedar telah
membelanjakan kesemua pendapatan mereka dan terkejut apabila tidak
dapat mengeluarkan wang tunai untuk tujuan pembayaran bil dan
sebagainya.
Mengikut statistik oleh gerbang
pembayaran PayPal yang mengendalikan urusan pembayaran, pembelian
secara atas talian telah meningkat 3 kali ganda dari tahun 2010
sehingga 2015. Jumlah jualan di Malaysia bernilai dari RM1.82billion
melonjak kepada kepada RM5.76 billion. Oleh yang demikian jelas
sekali urusan membeli belah atas talian merupakan alternatif yang
disenangi oleh masyarakat dan secara tidak langsung membuka ruang
berlakunya pembaziran.
Bagi membendung masalah ketagihan
membeli-belah atas talian ini, masyarakat haruslah didedahkan kepada
etika serta amalan baik penggunaan Internet. Ini dapat membantu
pengguna memahami trend terkini urusan jualbeli di Internet dan
bagaimana mengelakan diri dari terjebak kepada ketagihan membeli
belah di atas talian.
Adakah anda pembeli kompulsif?
Pembeli kompulsif mengikut kajian
sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita. Dan mereka membeli hanya
untuk kepuasan diri dan bukan untuk keperluan. Ini mengakibatkan
mereka membeli barangan yang mereka sebenarnya tidak perlukan. Kajian
juga menunjukkan ramai yang menjadi pembeli kompulsif tergolong di
kalangan orang-orang yang stress dan kesunyian. Membeli belah di atas
talian memberi kepuasan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.
Adakalanya mereka tidak dapat mengingati apa yang telah mereka beli
dan untuk tujuan apa.Memburukkan lagi keadaan akhirnya mereka
terjebak di dalam hutang yang besar dan menghadapi masalah
melunaskannya terutama apabila membeli menggunakan kad kredit.
Bagaimana mengawal diri daripada
menjadi pembeli kompulsif dan impulsif?
- membeli dengan tunaiJadikan amalan membeli secara tunai sebagai amalan tetap anda. Ini adalah kerana, dengan membayar secara tunai anda dapat melihat wang anda secara fizikal dibelanjakan. Kebiasaannya kita jarang menyimpan wang tunai yang banyak di tangan dan secara tidak langsung menghindar dari pembelian yang tidak diperlukan
- sediakan senarai barang yang diperlukanSeperti juga membeli belah di gedung fizikal, anda harus menyediakan senarai barangan yang hendak dibeli secara atas talian. Berpegang teguh pada senarai anda, ia mampu mengelakan anda darpada membeli barangan yang tidak diperlukan.
- guna hanya satu kad kreditPastikan anda hanya mengekalkan satu kad kredit sahaja untuk tujuan pembelian atas talian. Ini sangat membantu anda daripada membuat berlebihan berbanding sekiranya anda memiliki kad kredit yang banyak.
- Elak dari melayari laman sesawang dan rangkaian tv yang menawarkan promosiLaman sesawang dan rangkaian tv ini memang dicipta untuk memujuk penonton untuk membeli barangan yang diperkenalkan. Dengan tidak menontonnya anda secara automatik dapat menyisih daripada berkemungkinan untuk membuat belian
- rekodkan perbelanjaan andaDengan merekodkan setiap sen wang yang anda belanjakan akan memudahkan anda mengetahui ke mana wang anda belanjakan dan membantu anda untuk membuat perancangan pembelian di masa hadapan
- tangguhkan pembelianTeknik ini dapat membantu anda mengurangkan nafsu membeli dan kemungkinan membuka minda sedar anda bahawa barangan itu tidak anda perlukan. Tiap kali anda melihat sesuatu barangan dan bercadang untuk membelinya, adalah bijak untuk beralih ke laman yang lain atau berhenti daripada melayari Internet. Biasanya selepas 20 minit niat anda untuk membeli akan berkurangan.
- hadkan penggunaan InternetPastikan anda menghadkan penggunaan internet bagi memastikan anda tidak ketagih melayarinya dan melakukan window shopping ke atas barang-barang yang tidak diperlukan.
- Bersosial di alam nyataAdalah bijak untuk anda membanyakan aktiviti berinteraksi secara bersemuka dengan masyarakat sekeliling daripada melayari internet semata.
Sebagai kesimpulannya, pembelian secara
atas talian sebenarnya memberi banyak kemudahan di dalam urusan kita
sehari-hari. Ia buka sahaja dapat menjimatkan masa,tenaga dan wang
malah memberi keselesaan membeli belah di dalam ruang tamu rumah anda
sendiri. Sungguhpun begitu, pengguna haruslah bijak di dalam
menentukan keperluan daripada kemahuan kerana dengan mengabaikan
tatacara yang positif ia boleh membawa kepada kemusnahan yang besar
dalam hidup anda.
No comments:
Post a Comment