Wednesday 20 April 2016

Dr Harlina Berlagak Diva?




Baru-baru ini heboh diperkatakan di media sosial tentang perbualan antara penjual dalam talian dan pelanggan yang bernama Dr Harlina. Pelbagai pandangan dan komen dilemparkan oleh warga media sosial terhadap rakaman perbualan tersebut gara-gara Dr Harlina menegur penjual tersebut yang memanggilnya dengan kata ganti nama ‘awak’.

Apakah masalahnya sehingga perkara ini menjadi viral di alam maya? Adakah penggunaan kata ganti nama ‘awak’ itu biadap sehingga mendorong Dr Harlina memberi teguran kepada penjual tersebut?

Sebelum saya memberi pandangan elok kiranya kita fahami situasi yang berlaku agar menjadi pedoman dan pengajaran untuk orang ramai tatkala berinteraksi dan berkomunikasi di alam maya. Terutama ketika menggunakan platform media sosial. 

Perbualan tersebut sebenarnya di antara penjual dan bakal pembeli dalam urusan perniagaan.  Oleh yang demikian bahasa berinteraksi secara formal adalah lebih molek digunakan.

Pendedahan kepada adab dan etika Internet sebenarnya sangat berguna kerana pengguna didedahkan kepada selok belok adab dan etika di Internet. Ia sangat bermanfaat bagi memastikan keharmonian dan kerukunan di media sosial dapat dikekalkan.

Sebelum memulakan perbualan, pastikan anda menegenali audien anda. Ini sangat penting kerana ia akan menggambarkan personaliti anda bila berhadapan dengan orang lain. Seboleh mungkin dapatkan informasi tentang orang yang akan kita berinteraksi. Sebagai contoh, nama, umur, jawatan, dan sebagainya. Ini dapat membantu kita apabila berbual.

Kita tidak boleh membuat andaian semata-mata apabila berkomunikasi tanpa bersemuka. Di telefon contohnya ada orang yang kedengaran lebih muda dari usia dan begitu juga sebaliknya. Apatah lagi apabila berinteraksi di ruang sembang terutama apabila berkomunikasi dengan orang yang baharu dikenali.

Sekiranya orang tersebut lebih tua adalah tidak wajar untuk menggunakan perkataan engkau atau awak kerana ia sangat tidak manis. Gunalah perkataan seperti Tuan, Puan, Encik atau Cik.

Andai kata anda tidak pasti seseorang wanita itu sudah berumahtangga atau tidak eloklah menggunakan perkataan cik sahaja daripada puan. Ini adalah kerana memanggil seseorang wanita yang belum berkahwin walaupun telah berusai lanjut dengan gelaran Puan merupakan sesuatu yang agak sensitif.

Dalam konteks kes Dr Harlina, penjual haruslah memahami bahawa sebagai penjual, beliau haruslah menerima teguran dari pelanggan tersebut. Ini adalah kerana, teguran yang dibuat adalah dalam bahasa yang agak lembut. Dengan memohon maaf kes ini pastinya tidak akan berlarutan.

Sebaiknya tidak perlulah ianya dipanjangkan dengan membuat screen shot rakaman perbualan tersebut. Ini kerana, mengikut adab berkomunikasi di Internet perbualan itu adalah perbualan yang personal jadi dengan mendedahkan kepada publik seolah-oleh anda telah mengingkari persetujuan perbualan antara dua pihak tersebut. Malah kemungkinan ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan terhadap screen shot tersebut dengan menangguk di air yang keruh.

Kes ini sepatutnya menjadi pengajaran pada masyarakat bahawa sebarang perlakuan dan perbualan di alam maya haruslah dilayan seolah-olah anda berkomunikasi secara bersemuka dialam nyata. Sebagai pengguna yang bertanggung jawab anda harus menerima segala implikasi terhadap sebarang status atau pos yang anda muat naik di Internet.

Setiap pengguna peranti digital dan perkhidmatan Internet perlu mempelajari etika digital dan Internet tidak kira apa jua latarbelakang sosial, ekonomi dan akedamik.

Kerjaya sebagai dj dan pengacara di radio serta tv sebagai contoh, memerlukan individu yang peka terhadap pandangan orang ramai. Adalah bijak untuk memahami audien yang mendengar serta menonton apabila menuturkan sebarang kata-kata kerana ia boleh menjejaskan reputasi di kalangan masyarakat.

Saya sering mendengar dj radio menggunakan perkataan ‘korang’ atau pun ‘kau orang’. Mungkin bagi sesetengah pihak itu adalah biasa  dan tiada cacat celanya. Tetapi bagi sesetengah pihak pula perkataan itu agak kurang sopan untuk digunakan di corong radio yang mempunyai pendengar dari lapisan masyarakat dan usia. Mungkin perkataan 'korang' lebih sesuai dituturkan antara adik beradik atau di kalangan kawan-kawan sebaya.

Penutup kata, jadilah masyarakat yang sensitif dan berhemah tatkala menggunakan perkhidmatan Internet terutamanya di media sosial dan ruang sembang maya. Kenal pasti tujuan anda menggunakan perkhidmatan tersebut dan pastikan anda menyemak sesuatu pos yang bakal anda muat naik berkali-kali.

Untuk peniaga-peniaga dalam talian pula, lengkapkan diri anda dengan ilmu berkomunikasi agar pelanggan anda berpuas hati dan terus menyokong perniagaan anda.

No comments:

Post a Comment