![]() |
Sehari dua ini kisah Mawar tuan punya produk tudung FAREEDA
hangat diperkatakan di alam maya. Malah Fizo Omar suami kepada Mawar turut sama
terpalit akibat kutukan netizen. Ia menjadi hangat ekoran klip video orang
ramai bersesak-sesak menyerbu butik tudung FAREEDA yang telah diviralkan.
Pelbagai lapisan masyarakat tumpang semangkuk menyindir dan
menghentam pasangan ini gara-gara video tersebut. Di dalam video tersebut
kelihatan pelanggan lelaki dan perempuan berebut-rebut sambil menjerit-jerit
dalam keadaan kelam kabut untuk mendapatkan tudung terbaharu FAREEDA.
Wardina yang sering muncul dengan pelbagai buah fikiran dan
pendapat itu tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyuarakan isi hati
beliau.
Beliau dengan tegas menasihati pemilik tudung FAREEDA agar tidak melayan para pelanggan umpama
lembu kerana membiarkan mereka bersesak-sesak
dan dan berebut-rebut untuk mendapatkan tudung terbaharu FAREEDA. Malah
Wardina mencadangkan beberapa cara bagi memastikan perkara yang sama tidak
berulang lagi.
Melihat kepada situasi yang berlaku kedua-dua pihak sebenarnya
harus bertindak dengan rasional dan penuh tanggungjawab. Di sinilah etika
berkomunikasi di alam maya memainkan peranan yang penting. Tidak menafikan hak
untuk bersuara setiap orang tetapi adab menyuarakan pendapat masing-masing
merupakan kunci kepada keharmonian di alam maya.
Pihak FAREEDA contohnya haruslah mengambil iktibar dari apa
yang berlaku dan jika perlu memohon maaf kepada pelanggan dan juga netizen
keseluruhannya. Sungguhpun apa yang berlaku bukanlah atas kemahuan mereka
tetapi adalah sesuatu yang mulia atau noble thing to do. Bak kata pepatah; ikut
resmi padi, makin tunduk makin berisi. Pihak FAREEDA tidak rugi apa-apa pun
sekiranya mengakui kesilapan mereka malah ia dapat mengukuhkan lagi kepercayaan
orang ramai terhadap jenama FAREEDA.
Staf yang mengendali akaun laman sosial FAREEDA harus dilatih agar tidak cepat sentap dengan pelbagai
komen yang diberi sebaiknya menerima teguran dengan fikiran terbuka. Perbuatan
berbalas-balas kenyataan di laman sosial sebenarnya mendatangkan lebih banyak
keburukan daripada kebaikan. Setiap respon yang dimuat naik melambangkan mentaliti dan pemikiran kita. Oleh itu fikirlah berkali-kali sebelum memuatnaik sesuatu
respon kerana kita bertanggungjawab ke atas setiap apa yang kita pos di alam maya.
Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata rosak binasa.
Berbalik kepada Wardina dan pengkritik-pengkritik yang lain, adalah hak masing-masing sebagai
masyarakat umum untuk mengutarakan pendapat. Sungguhpun begitu pemilihan ayat
dan perkataan yang digunakan patut diberi perhatian kerana sebaik-baiknya
janganlah kata-kata nasihat kita boleh menyakiti hati dan menyinggung pihak yang
lain.
Menggunakan perkataan yang lembut dan beradab bukan sahaja
menyerlahkan budipekerti yang luhur malah mencerminkan keimanan yang tinggi.
Bukankah Islam itu cantik? Oleh yang demikian, berkomunikasilah di alam maya
seolah-oleh kita berkomunikasi secara bersemuka di alam reality. Malah tidak
rugi kita nasihat menasihati serta merendah diri; kerana ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Gambar dari http://www.harianblogger.com/2016/04/kes-viral-tudung-fareeda-kepada-fizo.html
Gambar dari http://www.harianblogger.com/2016/04/kes-viral-tudung-fareeda-kepada-fizo.html
No comments:
Post a Comment